Sunday, April 12, 2009

DPMMS mohon Perdana Menteri teruskan pembangunan usahawan bumiputera

11/04/2009 5:40pm

SHAH ALAM 11 April — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meneruskan program pembangunan usahawan Bumiputera yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) sebelum ini, bagi membantu golongan berkenaan.

Yang Dipertua DPMMS Tan Sri Rozali Ismail berkata memorandum mengenai permohonan supaya wujud kesinambungan pembangunan usahawan Bumiputera itu akan dihantar kepada Najib minggu depan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung ke-22 DPMMS di sini, beliau berkata kini masih terlalu awal untuk mengulas kedudukan program pembangunan usahawan Bumiputera setelah MECD dibubarkan daripada senarai kementerian yang diumumkan oleh Najib Khamis lepas.

“Agensi seperti MARA tidak dibubarkan, namun usahawan bumiputera kini tertanya-tanya kementerian mana yang akan menaungi mereka,” katanya.

Selain itu, Rozali berkata anggota dewan juga mahu kerajaan memberi keutamaan kepada peniaga Bumiputera dalam pengagihan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata pada masa ini 40 peratus daripada anggota DPMMS, yang terdiri daripada 2,529 syarikat dan individu, terjejas akibat kesan kegawatan ekonomi dunia sehingga ada yang menunggu masa untuk gulung tikar.

Kemerosotan perniagaan mereka disebabkan oleh pembatalan kontrak atau tempahan daripada syarikat luar negara kesan daripada kegawatan ekonomi sedunia, katanya.

“Oleh itu institusi perbankan di Malaysia dan jabatan kerajaan yang terlibat (dalam memberi pinjaman) perlu mengambil kira kegawatan ekonomi dalam membuat polisi atau peraturan yang melibatkan perniagaan,” katanya.


Beliau berkata pihak bank perlu menilai atau menyusun semula pinjaman daripada syarikat yang banyak terjejas kerana kegawatan ekonomi global.

Sementara itu, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Pusat) (DPMM) Datuk Faudzi Naim Noh berkata tanpa MECD, pertubuhan ekonomi seperti dewan-dewan perniagaan, perlu memain peranan yang lebih penting dalam membangunkan golongan usahawan Bumiputera.

“Agak sukar untuk berjaya secara bersendirian dalam membangunkan usahawan kerana pembangunan usahawan ini memerlukan perniagaan teras, katanya.

Selain itu beliau berkata undang-undang atau peraturan perniagaan juga berbeza dari satu sektor ke sektor lain dan pelbagai kementerian.

“Pandangan saya ialah bila kerajaan tidak menyambung Kementerian MECD, tanggungjawab membangunkan usahawan terletak kepada persatuan,” katanya. — Bernama

No comments: