Monday, April 13, 2009

Mansuh MeCD: Kerajaan tidak abai kepentingan bumiputera

KUALA LUMPUR 12 April – Kerajaan memberi jaminan kepentingan masyarakat bumiputera di negara ini tidak akan diabaikan walaupun Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah dimansuhkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep Kabinet ialah membuat keputusan berdasarkan tanggungjawab bersama yang membabitkan semua kementerian dan tidak memberi tumpuan kepada kementerian tertentu saja.

“Di mana-mana pun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) boleh letak (agensi di bawah MeCD). Dulu Felda di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kemudian dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Diletak di mana pun tanggungjawab agensi ini masih penting.

“Keputusan Kabinet kolektif, dasar yang dipersetujui bersama seperti pembangunan bumiputera dan usaha menterjemahkan beberapa prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke dalam konteks sekarang, masih menjadi agenda Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tahlil dan doa selamat serta meraikan ahli-ahli UMNO Bahagian Pagoh di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima memorandum daripada Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang antara kandungannya meminta kerajaan mewujudkan kembali MeCD bagi meneruskan agenda membela bumiputera dengan berkesan.

Agensi di bawah MeCD iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini diserapkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) pula diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mengetahui sebab Najib memansuhkan MeCD tetapi setakat ini tidak bercadang menjelaskan tujuannya kepada khalayak umum.

“Sesuatu perkara yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah atas sebab-sebab tertentu, kadang-kadang kita susah hendak faham.

“Saya tahu apa sebab beliau buat begitu. Tetapi tidak perlu pada masa ini untuk saya jelaskan kepada khalayak umum,” katanya.

Menurutnya, sedikit masa lagi kerajaan akan membuat penjelasan terperinci sebab-sebab pemansuhan itu dan tidak pasti sama ada beliau atau Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang akan diarahkan oleh Perdana Menteri untuk memberi penerangan itu.

“Jaminan yang saya boleh beri ialah tiada satu pun kementerian atau agensi yang dianggap tidak penting. Jadi kita kena beri kepercayaan kepada kerajaan dan kepada pimpinan kita untuk menjelaskannya.

“Umpamanya Mara, ia badan penting selaras keputusan Kongres Ekonomi Melayu untuk membangunkan usahawan bumiputera dan mendidik anak-anak. Apakah dengan tiada MeCD peranan ini terabai? Saya tak fikir begitu, mungkin lebih utama lagi,” ujarnya.

Mengenai penyerahan memorandum BBPM, Muhyiddin berkata, beliau akan meneliti pandangan yang dikemukakan NGO itu.

“Saya ambil pandangan ini. Perkara ini (pemansuhan MeCD) telah diputuskan oleh Perdana Menteri, mungkin BBPM juga hendak menemui beliau, tidak mengapalah, terserah kepada mereka.

“Mereka telah menyampaikan pandangan sebagai NGO dan terpulang sama ada Perdana Menteri memikirkan pandangan mereka wajar atau lebih sesuai dengan keputusan sebelum ini,” ujarnya.

p/s: hmmm.....any comment??? need to think for a while....

No comments: