KUALA LUMPUR 11 April – Kerajaan diminta mewujudkan kembali Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang telah dimansuhkan bagi meneruskan agenda membela kaum bumiputera dengan berkesan.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, wujud keluh kesah di kalangan masyarakat bumiputera terutama Melayu dengan ketiadaan sebuah kementerian yang khusus untuk menjaga kepentingan mereka.
“Sebenarnya agenda melahirkan usahawan dan profesional bumiputera secara tidak langsung turut mempercepatkan usaha untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini.
“Biarpun Kabinet baru berslogan Satu Malaysia tetapi kita berharap jangan sampai menghentikan agenda bumiputera,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BPPM di sini hari ini.
MECD adalah antara kementerian yang dimansuhkan dan disusun semula dalam pengumuman barisan Kabinet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Sebelum ini, kementerian berkenaan diterajui Datuk Noh Omar yang kini menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Salah satu agensi utama MECD ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang selama ini begitu sinonim dalam menjayakan agenda Melayu.
Osman menjelaskan, kaum bumiputera yakin dengan kemampuan MECD bukan sahaja untuk menjayakan agenda ekonomi bangsa malah pendidikan.
Sementara itu menurut Osman, mesyuarat turut mengambil ketetapan untuk menemui Perdana Menteri seberapa segera bagi mengemukakan memorandum khusus untuk kepentingan agama Islam, umat Melayu dan negara.
Kata beliau, memorandum itu bagi memastikan masyarakat Melayu dapat dibangunkan sebagai satu bangsa asal di tanah air ini.
“Dengan cara ini kita dapat memastikan ketuanan Melayu dan perpaduan kaum dalam negara ini akan menjadi satu kenyataan dengan konsep Satu Malaysia,’’ jelasnya.
Katanya, memorandum yang sama juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sunday, April 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment