KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi penjelasan terperinci berhubung pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, penjelasan berhubung pembubaran dan fungsi kementerian itu yang telah diserapkan kepada beberapa kementerian lain berikutan pengumuman Kabinet baru pada Khamis lepas akan dibuat sama ada oleh beliau sendiri ataupun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa semua fungsi yang sebelum ini terletak di bawah tanggunggjawab MECD akan diberi perhatian walaupun telah diserapkan kepada kementerian lain.
"Pada peringkat awal semua berminat nak tahu...tapi saya beri jaminan tidak ada satu pun yang dianggap tidak penting...bila Kabinet baru dibentuk tentu ada pihak tertanya-tanya mengapa ia ditiadakan tetapi pada dasarnya ia tetap diutamakan," katanya selepas Majlis Tahlil dan Doa Selamat di kediamannya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa mengumumkan barisan Kabinet barunya Khamis lalu tidak menyebut MECD dalam senarai kementerian di bawah pentadbirannya.
Najib kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang memaklumkan semua agensi di bawah MECD disusun semula dan diserapkan kepada beberapa kementerian lain, termasuk ke dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.
Beberapa akhbar hari ini melaporkan kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti BBPM dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berikutan pembubaran MECD yang dianggap sebagai satu kementerian yang menjadi tempat bergantung bagi membela usahawan Bumiputera.
Berikutan itu, wujud kegusaran di kalangan masyarakat Bumiputera terutama Melayu dengan ketiadaan sebuah kementerian yang khusus bagi menjaga kepentingan mereka.
Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep "kebertanggungjawaban bersama" tidak timbul isu kerajaan mengabaikan tanggungjawab sekiranya fungsi kementerian itu (MECD) diletakkan di bawah agensi berlainan kerana setiap keputusan jemaah menteri dibuat secara bersama.
"Kita boleh letak sesuatu agensi di mana sahaja...kerana di bawah mana pun tanggungjawab itu masih penting kerana soal pembangunan Bumiputera tetap menjadi agenda utama kerajaan.
"Kita jangan melihat pembubaran sesuatu kementerian sebagai seolah-olah kerajaan tidak memberi perhatian, kepimpinan tidak akan mengambil kisah atau terjatuhnya martabat tetapi harus diingat sesuatu keputusan yang dibuat kerajaan tentunya bersebab walaupun agak sukar untuk difahami," katanya. - Bernama
Sunday, April 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment